Saturday, 11 July 2015

Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat

1 Syawal bakal menjelang tidak berapa lama lagi. Kita kini di penghujung Ramadhan dan semua pastinya sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Rasanya ramai sudah sedar, hari raya Aidilfitri kali ini mungkin jatuh pada hari Jumaat, 17 Julai 2015 (berdasarkan takwim Hijrah). Sudah tentu, ada yang tertanya-tanya apakah Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat.
Berikut amin kongsikan penerangan dari Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri iaitu Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan isu tersebut. 
Anda boleh baca sepenuhnya dibawah:
Alhamdulillah, pada kali ini saya suka membincangkan isu yang sudah pasti akan dibahaskan dengan meluas oleh para ulama, asatizah dan cendekiawan Islam dengan merujuk kepada nas, dalil dan pendapat ulama silam serta mutaakhirin.
Boleh jadi pada tahun ini hari raya jatuh pada hari Jumaat berdasarkan imkan al-ru’yah atau sebaliknya mengikut apa yang akan diumumkan secara rasminya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Justeru, Bayan Linnas pada Siri Ke-32 ini merasa terpanggil untuk menekuni isu Hukum Solat Jumaat Jika Hari Raya Idil Fitri Berlaku Pada Hari Jumaat dan memperhalusinya berdasarkan kaedah yang digunapakai oleh para ulama terdahulu.
Yang pentingnya dalam kehidupan kita mencari keredhaan Allah agar landasan perjalanan hidup benar-benar menepati syariah dan agama Islam yang kita anuti ini.
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya semoga Allah menerima amalan ibadat puasa dan qiam yang kita lakukan pada bulan Ramadhan sehingga layak kita menjadi golongan yang bertaqwa yang akhirnya menatijahkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Hukum Solat Jumaat
Sepertimana yang dimaklumi, solat Jumaat adalah wajib bagi mereka yang mencukupi segala syaratnya. Dalil disyariatkan dan diwajibkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).[1] (Surah al-Jumu’ah: 9)
Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Toriq bin Syihab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim.” – Riwayat Abu Daud (1067)
Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.” – Riwayat Muslim (865) dan yang lainnya
Hukum Solat Hari Raya
Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah namun sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba kecuali perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.
Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. قَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ
Maksudnya: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” – Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)
Begitu juga hadith:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.” – Riwayat Abu Daud (1420)
Hadith seterusnya, daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:
كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
Maksudnya: “Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut. Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab). Baginda menjawab: Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.” – Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890)
HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA IDIL FITRI BERLAKU PADA HARI JUMAAT
HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA IDIL FITRI BERLAKU PADA HARI JUMAAT
Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat. Mereka masing-masing mengemukakan hujah.
Pertama: Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah. Dalilnya seperti berikut:
1. Umum ayat yang memerintahkan supaya melaksanakan solat Jumaat dan banyak khabar atau hadith yang menunjukkan kewajipannya. Begitu juga dengan solat Jumaat adalah wajib yang tidak mungkin gugur salah satu dengan yang lain sama seperti Zohor bersama solat Hari Raya. Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah (2/358).
2. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya).” – Riwayat Abu Daud (1073) dan Ibn Majah
Wajah dalalahnya adalah bahawa Nabi SAW tetap melakukan solat Jumaat.
3. Daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: “Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: Hai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan.” Riwayat al-Bukhari
Kedua: Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.
Antara dalilnya ialah:
* Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW
قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
Maksudnya: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” – Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih
Hadith ini ditafsirkan dengan keharusan meninggalkan Jumaat bagi yang telah melakukan solat Hari Raya terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke pedalaman atau desa. Ini berdasarkan nas Rasulullah SAW yang menyebut (فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ) yang memberi maksud sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat.
* Daripada Zaid bin Arqam RA katanya:
صَلَّى النَّبِيُّ – صلى الله عليه وسلم – الْعِيدَ, ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ, فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ
Maksudnya: “Nabi SAW telah melakukan solat Hari Raya kemudian memberi keringanan kepada solat Jumaat seraya bersabda: ‘Siapa yang mahu solat maka solatlah.” – Riwayat Ahmad (18831), Abu Daud (1070), al-Nasaie (1591), Ibn Majah (1310) dan Ibn Khuzaimah (2/359) dan beliau mensahihkannya.
Hadith ini menunjukkan memadai bagi sesiapa yang solat Hari Raya untuk tidak solat Jumaat tetapi hanya solat Zohor. Antara alasan kenapa memadai salah satunya kerana kuatnya penyamaan antara dua solat iaitu solat Hari Raya dan solat Jumaat kerana kedua-dua dilakukan dua rakaat dengan bacaan yang jahar atau nyaring. Begitu juga terdapat dua khutbah. Disamping perhimpunan yang besar. Perkataan rukhsah menunjukkan hadir untuk solat Jumaat adalah sunat semata-mata.
* Daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:
أن معاوية بن أبي سفيان رضي الله عنه سأله: هل شهدت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: كيف صنع؟ قال: صلى العيد ثم رخص في الجمعة، فقال: (من شاء أن يصلي فليصل)ل
Maksudnya: “Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: ‘Adakah engkau menyaksikan bersama Nabi SAW dua perayaan yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: Ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana Nabi SAW lakukan? Jawabnya: Baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang mahu solat maka solatlah.” – Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah, al-Darimi dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan katanya: Hadith sahih sanadnya dan dia mengikut syarat Muslim serta dipersetujui oleh al-Zahabi. Imam Nawawi dalam al-Majmu’ berkata: “Sanadnya baik.”
Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut: “Ini kerana telah tertahqiq maksud untuk mendengar khutbah Hari Raya justeru memadai daripada mendengarnya buat kali kedua. Ini kerana waktunya satu pada pandangan mereka iaitu pada masa yang keenam. Justeru, gugurlah salah satu daripada dengan yang lain seperti solat Jumaat bersama solat Zohor.” Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 2/1420.
* Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:
اجتمع عيدان على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فصلى بالناس ثم قال: (من شاء أن يأتي الجمعة فليأتها ، ومن شاء أن يتخلف فليتخلف
Maksudnya: “Telah berhimpun dua hari raya (Jumaat dan Hari Raya) pada zaman Rasulullah SAW lantas Nabi sembahyang bersama orang ramai kemudian bersabda: ‘Siapa yang mahu datang berJumaat maka silalah, dan siapa yang mahu pulang maka silalah.” – Riwayat Ibn Majah dan al- Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir
* Daripada ‘Atha’ Rahimahullah katanya:
“Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (Ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas R.Anhuma berada di Ta’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah.” – Riwayat Abu Daud
* Daripada Wahab bin Kisan katanya:
“Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudian dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat.” – Riwayat al-Nasaa’ie
Tarjih
Kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mewajibkan solat Jumaat sekalipun terdapat dalil yang sebaliknya. Ini kerana:
  1. Dalil yang menggugurkannya tidak kuat. Seperti hadith Zaid bin Arqam dianggap sebagai dhaif. Ini kerana pada sanadnya terdapat Iyas bin Abi Ramlah yang dianggap sebagai majhul.
  2. Rasulullah SAW sendiri melaksanakannya dengan menyebut (وإنا مجمّعون) dan sedangkan kami tetap melaksanakan solat Jumaat.
  3. Rukhsah diberi kepada golongan yang jauh dan pedalaman. Hal ini perlu difahami realiti dan waqie ketika itu solat Jumaat hanya dilakukan di masjid utama sahaja seperti di Madinah. Justeru, bagi mereka yang jauh jarak perjalanan akan menyukarkan bagi mereka.
  4. Sebaliknya, hampir disetiap kampung dan kawasan mempunyai masjid yang memungkinkan seseorang itu pergi dengan mudah dan senang.
  5. Solat Jumaat adalah salah satu daripada syiar Islam yang apabila ditegakkannya sudah barang tentu menampakkan gahnya Islam itu sendiri.
  6. Berdasarkan kaedah “الخروج من الخلاف مستحب” (keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan). Kaedah seperti ini juga terdapat dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: ” والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف” (Dan yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf).
Cadangan dan Saranan
Saya mengambil kesempatan di sini untuk mencadangkan kepada imam yang bertugas pada hari Jumaat jika berbetulan pada Hari Raya hendaklahmemendekkan khutbah Jumaat dan meringkaskannya dengan meraikan segala rukun. Ini kerana, khutbah fungsinya memberi nasihat dan peringatan sedangkan di waktu pagi ketika solat Hari Raya sudah dikhutbahkan dengan panjang lebar. Justeru, meringkaskan khutbah akan menenangkan jiwa para jemaah solat Jumaat sepertimana yang dimaklumi pada Hari Raya masing-masing mempunyai banyak agenda ziarah menziarahi dan menerima tetamu. Ini juga menandakan kefaqihan seseorang imam.
Penutup
Suka dinyatakan di sini jika sekiranya masalah khilaf alangkah lebih baik kita bersifat terbuka dan berlapang dada. Kami tidak menafikan betapa terdapatnya pandangan Imam Syafie yang menyatakan gugur solat Jumaat kepada ahli bawadi dan awali iaitu golongan yang tinggal jauh di pedalaman dariapada kota Madinah sepertimana yang telah difatwakan oleh Saidina Uthaman dan dinyatakannya oleh Imam al-Bukhari. Kami telah huraikan asas tarjih kami berkenaan golongan awali dan bawadi yang berada nun jauh di pedalaman dan menyukarkan mereka untuk kembali semula melaksanakan solat Jumaat.
Tetapi pada saat yang sama hendaklah kita mencari pendapat yang lebih ahwat serta meraikan juga pendapat mazhab setempat seperti mazhab Imam Syafie di Malaysia ini. Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali degan Ba’alwi menyebut:
فمذهبنا أنه إذا حضر أهل القرى والبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم
Maksudnya: “Maka mazhab kita, kalau bagi orang perdalaman yang jauh dari masjid Jami’ maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami’ maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.”
Seperti yang kami jelaskan sebelum ini kerana ‘illahnya kesukaran dan kejauhan untuk berulang-alik buat kali kedua ke masjid tatkala sudah menunaikan solat sunat Hari Raya. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan ibadahnya benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul.
Marilah sama-sama kita merayakan Hari Raya Idil Fitri ini dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada Allah dengan meninggikan segala syiar di samping saling ziarah menziarahi dan bermaafan serta mempertautkan keampuhan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana yang telah ditaklifkan oleh agama kita.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
22 Ramadan 1436H Bersamaan 09 Julai 2015
[1] Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah fardhukan Jumaat kepada setiap orang Islam dan menolak pendapat yang menyatakan bahawa solat Jumaat hukumnya fardhu kifayah sedangkan Jumhur al-Ummah berpendapat hukumnya adalah fardhu ain. [LINK]
RINGKASAN [PADA MEREKA YANG TAK MAHU BACA PANJANG LEBAR DIATAS]
Berdasarkan kepada penerangan di atas ada dua hujah, iaitu:
  • Pertama: Solat Jumaat tetap wajib sekalipun telah dilakukan Solat Hari Raya. Ini kerana solat Jumaat asalnya adalah wajib berdasarkan nas di atas. Justeru, sekalipun sudah dilakukan solat Hari Raya, solat Jumaat tetap wajib. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan sebahagian daripada Hanabilah.
  • Kedua: Hukumnya sunat Solat Jumaat bagi mereka yang telah melaksanakan Solat Hari Raya. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanbali.
Menurut Datuk Dr. Zulkifli, berdasarkan kepada hujah-hujah berkenaan, pihaknya lebih cenderung kepada pendapat jumhur yang mewajibkan solat Jumaat. [anda boleh rujuk sebab dalam penerangan beliau diatas]
Namun begitu, beliau turut untuk mencadangkan kepada imam yang bertugas pada hari Jumaat jika berbetulan pada Hari Raya hendaklah memendekkan khutbah Jumaat dan meringkaskannya dengan meraikan segala rukun.

Wednesday, 6 May 2015

Kata Penguat

Kata penguat ialah kata tugas yang menguatkan maksud kata adjektif. Ia hadir sebelum atau selepas kata adjektif.

Perhatikan ayat-ayat di bawah. Perkataan yang bergaris ialah kata penguat dan kata adjektif pula dicetak tebal.

a)    Kasut joging itu terlalu mahal.
b)   Buku cerita kanak-kanak ini agak baru.
c)    Jalan kecil itu ialah jalan yang paling dekat ke sekolah saya.
d)   Hari ini panas sekali.
e)   Suara penyanyi itu merdu nian.
f)    Air sirap ini manis benar.
g)   Zaki amat fasih berbahasa Inggeris.
h)   Sekolah kami sangat dekat dengan perhentian bas.
i)     Ayah bangga sungguh dengan keputusan ujian saya.

3)   Kata penguat terbahagi kepada tiga jenis, iaitu penguat hadapan, penguat belakang, dan penguat bebas. Lihat jadual di bawah.
Jenis Kata Penguat
Contoh
Penguat hadapan
Paling; terlalu; agak
Penguat belakang
Sekali; benar; nian; betul
Penguat bebas
Amat; sangat; sungguh


Tuesday, 7 April 2015

Simpulan Bahasa

1. Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu.

2. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat

3. Maksudnya, terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat dan nyata.

4. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan. 

Contoh :
1. Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna.

Ada angin
(a) Mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
(b) Sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.

Anak buah :
(a) Orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti penghulu.
(b) Anak saudara.

2. Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama.
Muka talam; Muka tebal; Muka tembok
Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.
Tua keladi; Tua kutuk; Tua lengkuas
Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat.

Bentuk atau Ciri Simpulan Bahasa
1. Terbentuk daripada penggunaan kata nama am.
Contoh:
Anak buah; Buah tangan; Lipas kudung.
Kata Nama Am: anak, buah dan lipas

2. Terbentuk daripada penggunaan kata kerja.
Contoh:
Ajak-ajak ayam; Buat bodoh; Pasang telinga.
Kata Kerja: ajak, buat dan pasang

3. Terbentuk daripada penggunaan kata adjekif.
Contoh:
Besar kepala; Bodoh sepat; Kecil hati.
Kata Adjektif: besar, bodoh dan kecil

4. Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas.
Contoh:
Abu Jahal; Mat Jenin; Pak Kaduk.
Kata Nama Khas: semua di atas

5. Terbentuk daripada nilai kepercayaan.
Contoh:
Air pinang; Batu buyung; Makan bulan.
Nilai kepercayaan: semua di atas berkaitan dengan kepercayaan orang Melayu.



Simpulan Bahasa
Maksud
1. Ada hati
Ada kemahuan membuat sesuatu
2. Air muka
Rupa muka, maruah, dan harga diri
3. Ajak-ajak ayam
Ajakan yang tidak ikhlas atau bersungguh-sungguh
4. Ambil angin
Bersiar-siar untuk melapangkan fikiran
5. Ambil berat
Ambil tahu sesuatu hal dengan bersungguh-sungguh
6. Ambil hati
Pandai menyenangkan hati sesorang atau merajuk dan marah kepada seseorang
7. Anak kandung
Anak sendiri
8. Anak tut
Anak orang lain yang dipelihara seperti anak sendiri
9. Angkat kaki
Beredar dari sesuatu tempat
10.Atas angin
Negara di sebelah barat
11.Atas pagar
Seseorang yang tidak menyebelahi mana-mana pihak
12.Ayam tambatan
Orang yang menjadi harapan dalam sesuatu pasukan
13.Banyak mulut
Orang yang suka bercakap banyak
14.Barang kemas
Barang perhiasan wanita yang berharga seperti emas atau berlian
15.Batu api
Orang yang suka menghasut orang lain sehingga menyebabkan pergaduhan
16.Batu loncatan
Sesuatu yang dijadikan alat untuk mencapai sesuatu tujuan
17.Bau bacang
Hubungan persaudaraan yang jauh
18.Bawah angin
Negara di sebelah timur
19.bekas tangan
Hasil kerja tangan sesorang
20.Bendera putih
Tanda menyerah kalah
21.Berat sebelah
Tidak adil
22.Berat tulang
Orang yang malas
23.Bermasam muka
Tidak bertegur sapa kerana berselisih faham
24.Bermuka-muka
Berpura-pura berbuat baik
25.berpeluk tubuh
Malas berusaha dan bekerja
26.Bertegang leher
Bertengkar
27.Bertikam lidah
Berbahas atau berbalah antara dua pihak
28.Bintang terang
Bernasib baik
29.Buah fikiran
Pendapat atau pandangan seseorang
30.Buah hati
Kekasih atau orang yang sangat dikasihi
31.Buah mulut
Sesuatu perkara yang menjadi bahan perbualan orang ramai
32.Buah tangan
Hadiah atau pemberian
33.Buka tembelang
Menceritakan perkara buruk sesorang kepada orang lain
34.Bulat hati
Teguh hati atau bersungguh-sungguh
35.Buruk siku
Meminta balik sesuatu yang telah diberi kepada orang lain
36.Campur tangan
Melibatkan diri dalam sesuatu perkara
37.Cari jalan
Berusaha atau mencari ikhtiar untuk mencapai tujuan
38.Dalam tangan
Sesuatu yang sudah tentu akan diperoleh
39.Darah daging
Anak atau kaum keluarga yang mempunyai pertalian darah
40.Diam ubi
Orang yang sentiasa berusaha tanpa banyak bicara
41.Duit kopi
Duit yang diberi kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu dengan mudah
42.Durian runtuh
Mendapat keuntungan atau wang yang banyak tanpa disangka-sangka
43.Gelap mata
Hilang fikiran kerana pengaruh wang
44.Gatal tangan
Melakukan sesuatu tanpa tujuan
45.Gaji buta
Mendapat gaji atau upah tanpa bekerja bersungguh-sungguh
46.Geli hati
Lucu atau rasa hendak ketawa
47.Hancur hati
Perasaan sedih dan kecewa
48.Hidung belang
Lelaki yang suka mengusik perempuan
49.Harga mati
Harga tetap dan tidak boleh ditawar lagi
50.Hilang akal
Tidak boleh berfikir atau gila
51.Harga pokok
Harga asal sesuatu barang
52.Hidung tinggi
Orang yang sombong dan megah
53.Hati batu
Terlalu degil atau tidak mendengar nasihat
54.Isi hati
Perasaan dalam hati seseorang
55.Ikat perut
Menahan lapar kerana hendak berjimat
56Jatuh hati
Menaruh cinta kepada seseorang
57.Jalan Buntu
Gagal untuk mendapatkan penyelesaian
58.Jantung hati
Orang yang paling disayangi dan dikasihi
59.Jauh hati
merajuk atau tersinggung
60.Kaki ayam
Tidak memakai kasut
61.Kki botol
Orang yang suka minum minuman keras
62.Kaki lima
Tempat orang lalu-lalang di hadapan kedai
63.Kaki judi
Orang yang suka berjudi
64.Kecil hati
Merajuk kerana kecewa
65.Keliling pinggang
Orang yang banyak berhutang
66.kepala batu
Orang yang degil atau tidak mahu mendengar nasahat
67.Kepala angin
Orang yang suka marah secara tiba-tiba
68.Kera sumbang
Orang yang suka mengasingkan diri dan tidak mahu berkawan dengan orang lain
69.Khabar angin
Berita yang belum atau tidak pasti akan kebenarannya
70.Kucing bertanduk
Sesuatu perkara yang tidak mungkin berlaku
71.Kuku besi
Pemerintahan yang zalim
72.Langkah kanan
Bernasib baik
73.Langkah kiri
Tidak bernasib baik
74.Langkah seribu
Berlari sekuat hati kerana ketakutan
75.Lepas tangan
Tidak mahu bertanggungjawab atas sesuatu perkara
76.Lintah darat
Orang yang mencari keuntungan dengan menindas orang lain
77.Lipas kudung
Orang yang membuat sesuatu kerja dengan cepat
78.Makan angin
Melawat sesuatu tempat
79.Makan suap
Menerima rasuah
80.Malu kucing
Berpura-pura malu
81.Mandi peluh
Bekerja kuat dengan sepenuh tenaga
82.Mata keranjang
Lelaki yang suka mengganggu perempuan
83.Mati katak
Mati yang tidak dipedulikan orang
84.Membabi buta
Melakukan sesuatu dengan tidak berfikir
lebih dahulu
85.Menjolok mata
Sesuatu yang dilakukan melanggar batas kesopanan
86.Minta diri
Minta kebenaran hendak pulang atau keluar dari sesuatu majlis
87.Muka tembok
Tidak tahu malu
88.Mulut tempayan
Orang yang tidak boleh menyimpan rahsia
89.Naik darah
Menjadi marah
90.Nyawa-nyawa ikan
Hampir hendak mati
91.Naik darah
Menjadi marah
92.Orang harapan
Orang yang diharapkan dan dipercayai dalam sesuatu kumpulan
93.Otak cair
Orang yang cerdik
94.Panjang tangan
Orang yang suka mencuri
95.Pasang telinga
Mendengar dengan penuh perhatian
96.Pekak badak
Orang yang tidak dapat dengar apabila kita bercakap kuat,tetapi jika berbisik dia dapat dengar
97.Putih mata
Kecewa kerana impian tidak tercapai
98.Putih tulang
Sanggup mati daripada mendapat malu
99.Puteri lilin
Wanita yang tidak tahan panas
100.Rambang mata
Tidak dapat membuat pilihan
101.Rabun ayam
Penglihatan yang tidak jelas pada waktu malam
102.Raja sehari
Pengantin
103.Ringan tulang
Rajin bekerja
104.Sakit hati
Rasa marah kerana perbuatan orang
105.Saudara anjing
Adik-beradik yang seibu tetapi berlainan bapa
106.Senyum kambing
Senyum yang hanya dibaut-buat sahaja
107.Serkap jarang
Menuduh secara agak-agak sahaja atau tanpa usul periksa
108.Telinga lintah
Orang yang dapat mendengar walaupun bunyi yang perlahan
109.Tanda mata
Hadiah yang diberi sebagai kenangan
110.Titik peluh
Hasil uasaha sendiri
111.Tangkai jering
Sangat kedekut
112.Tidur mati
Tidur nyenyak
113.Tidur-tidur ayam
Tidur yang tidak lena
114.Tolak ansur
Sama-sama memberi dan menerima fikiran atau tugas masing-masing
115.Yatim piayu
Anak yang tidak mempunyai ibu bapa
116.Gaji buta
Gaji yang diterima tanpa bekerja
117Kepala berat
Lambat mengerti
118.Kepala udang
Bodoh sekali
119.Kaki botol
Peminum arak
120.Kaki judi
Orang yang suka berjudi
121.Cepat tangan
Suka mencuri
122.Buta warna
Tidak dapat membezakan warna
123.Cakap angin
Omong kosong
124.Bulat kata
Sudah sepakat
125.Bunga api
Percikan api dalam bentuk bunga
126.Buku lima
Tinju
127.Buta hati
Bengis dan kejam
128.Harga paku
Harga mati
129.Daya fikir
Kekuatan berfikir
130.Dingin hati
Tidak menaruh perhatian
131.Emas juita
Kekasih
132.Emas kahwin
Wang wajib dari pihak pengantin lelaki yang diberikan kepada pengantin perempuan
133.Gagah perkasa
Amat gagah
134.Ibu kandung
Ibu sendiri
135.Ibu kota
Kota yang menjadi pusat pemerintahan
136.Ibu pertiwi
Tanah tumpah darah
137.Isi perut
Perasaan atau apa yang terfikir dalam hati
138.Jalan buntu
Tidak mendapat kata sepakat
139Jalan pintas
Jalan pendek
140Kurang bahasa
Tidak tahu adapt;kurang adab
141.Mak tiri
Ibu tiri
142.Makan garam
Banyak berpengalaman dalam hidup
143.Malu-malu bahasa
Agak malu
144.Memeras otak
Memikirkan dengan bersungguh-sungguh
145.Minta doa
Berdoa