1.
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2.
Selalunya ayat tanya akan ditandai dengan tanda
tanya (?) pada akhir ayat itu.
3.
Dalam pengucapan, ayat tanya diakhiri dengan
intonasi menaik (tinggi).
Ayat tanya terbahagi kepada dua bahagian,
iaitu
(a) Ayat tanya yang disertai kata tanya,
dan
(b) Ayat tanya yang tidak disertai kata
tanya.
(c) Ayat tanya diakhiri dengan partikel
kah.
(a) Ayat tanya dengan kata tanya
Kata tanya dalam ayat tanya jenis ini
terdiri daripada kata tanya seperti apa, mana dan siapa; dan frasa kata tanya,
seperti bagaimana, dari mana, dengan siapa, di mana, mengapa, dan untuk siapa.
Contoh penggunaan kata tanya dan frasa
kata tanya dalam ayat tanya adalah seperti yang berikut:
1. En. Sulaiman / mana?
2. Benda itu / apa?
3. Orang itu / siapa?
dengan frasa kata tanya:
4. Kamu / bagaimana?
5. Mereka / dari mana?
6. Puan Megawati / dengan siapa?
7. Anda / di mana?
8. Orang itu / mengapa?
9. Hadiah itu / untuk siapa?
Semua kata tanya dan frasa kata tanya
yang berhuruf condong ialah predikat ayat belaka dalam susunan ayat biasa
subjek mendahului predikat.
(b) Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya yang bentuknya sama bentuknya
dengan ayat penyata, tetapi berbeza oleh adanya tanda tanya (?) pada akhir ayat
itu. Subjek ayat tetap mendahului predikat. Contoh:
10. Yang itu / kereta Savvy?
11. Dia / Suraj?
12. Pakaian baru itu / untuk mereka?
13. Zaidah / mempelajari tatabahasa?
Ayat tanya yang susunan biasanya subjek
predikat dapat disongsangkan. Oleh itu, ayat tanya songsang ialah ayat tanya
yang predikatnya didahulukan dan subjeknya dikemudiankan. Contohnya:
14. Manakah / Encik Sulaiman?
15. Apakah / benda itu?
16. Siapakah / orang itu?
17. Dengan siapakah / Puan Megawati?
18. Mengapakah / orang itu?
19. Untuk siapakah / hadiah itu?
Lawan ayat tanya songsang ialah ayat
tanya biasa. Ayat-ayat dalam (a) dan (b) ialah contoh ayat tanya susunan biasa.
(i) Ayat tanya songsang biasa
Ayat tanya BM dapat disertai oleh kata
partikel. Partikel ialah kata yang pada umumnya terdiri daripada satu suku kata
dan tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai fungsi tertentu dalam ayat.
Misalnya partikel -kah dalam ayat-ayat tanya (14) - (19).
Tugas partikel -kah adalah untuk
mementingkan predikat ayat tanya. Itulah sebabnya maka partikel -kah dikenal
sebagai partikel pementing.
Apabila predikat dipentingkan, maka
letaknya mestilah di hadapan, bukan di belakang. Semua predikat ayat dalam (14)
- (19) disertai oleh partikel -kah, dan letaknya di hadapan. Apabila letak
predikat di hadapan dan subjeknya di belakang, maka tentulah ayat songsang.
(ii) Ayat tanya songsang terbahagi
Ayat tanya songsang terbahagi ialah ayat
songsang yang predikatnya terbahagi, iaitu satu di hadapan dan satu lagi di
belakang; manakala subjeknya di tengah. Contoh:
20. Bagaimanakah (Predikat) dia (Subjek)
datang? (Predikat)
21. Di manakah (Predikat) orang itu
(Subjek) menginap? (Predikat)
22. Apakah (Predikat) dokumen (Subjek)
bertaraf sulit? (Predikat)
23. Bagaimanakah (Predikat) konsep nilai
kendiri (Subjek) diterapkan? (Predikat)
Dalam bentuk ayat songsang terbahagi ini,
ada dua frasa yang menjadi predikatnya. Predikat yang disertai partikel -kah
didahulukan. Predikat yang tidak disertai partikel -kah dikemudiankan. Subjek
terletak di tengah-tengah.
Sebagai rumusan, perlu diingat bahawa
apabila predikat disertai partikel -kah, maka predikat itu mestilah diletakkan
di depan dan subjeknya di belakang kerana dalam bentuk ini, predikat yang
dipentingkan bukan subjeknya. Maksudnya, perkara yang ditegaskan atau
diutamakan yang berada dalam predikat itu diberikan perhatian. Letak atau
kedudukannya tetaplah unsur predikat di hadapan, sementara subjeknya di
belakang. Perhatikan bentuk baku dan tidak baku ayat tanya yang berikut ini:
24 a. Pegawai itu (S) bersarakah? (P)
(tidak baku kerana predikat bersarakah
tidak dikedepankan)
b. Bersarakah (P) pegawai itu? (S)
(baku kerana mendepankan predikat yang
mempunyai partikel -kah)
Apabila kata tanya (apa, mengapa, siapa,
bagaimana, dll.) yang menjadi predikat disertai partikel -kah, maka predikat
itu mestilah dikedepankan juga. Contoh:
25 a. Encik Othman (S) datang bilakah?
(P)
(tidak baku kerana predikat bilakah tidak
dikedepankan)
b. Bilakah (P) Encik Othman (S) datang?
(baku kerana mendepankan predikat kata tanya (bila) berpartikel -kah)
Bahan slaid tentang kata tanya
Bahan slaid tentang kata tanya
No comments:
Post a Comment